Ada 7 perkara yang harus anda elakkan dari melakukannya. Akan di kupas dalam artikel bertajuk “7 Jangan dalam simpanan emas":
1. Jangan malas
Sebaik sahaja anda sedar tentang emas, dapatkan info yang berkaitan dengan emas, sejarahnya, perkaitan dengan wang kertas, jenis-jenis emas, produk yang ada di pasaran, dan banyak lagi yang perlu anda ketahui. Jangan malas untuk mencari info dan ilmu berkaitan emas yang tidak pernah habis.
Ini akan membantu anda dari terjebak dengan skim pelaburan emas, syarikat yang menawarkan pembelian saham emas dan sebagainya. Pastikan anda beli emas-dapat emas dan jangan tertipu dengan syarikat yang menjanjikan pelbagai pulangan bulanan kerana mereka telah pun menjual dengan harga yang lebih tinggi dari syarikat emas yang sedia ada. Disebabkan itu mereka boleh memberi anda dividen. Anda harus berhati-hati kerana kebelakangan ini semakin banyak syarikat yang menawarkan pelbagai tawaran yang boleh membuatkan anda rugi.
Beberapa syarikat emas yang menjalankan skim pelaburan emas beberapa tahun dahulu masih belum selesai kes dengan BNM, oleh itu janganlah kita menambahkan bilangannya. Syarikat yang dimaksudkan ialah Genneva,jangan terpedaya dengan hibah yang dijanjikan kerana anda sudah membayar lebih sebenarnya. Dan yang terkini, scam yang sedang mengganas ialah Barrick Corporation yang memperdaya orang ramai dengan menggunakan nama syarikat pelombong di Kanada iaitu Barrick Gold Corporation.
Dapatkan mentor untuk membimbing anda. Tambah ilmu dengan membaca buku atau cari maklumat di internet...
2. Jangan Ar rahnu sebarangan
Ramai yang menyalahgunakan perkhidmatan ar rahnu kebelakangan ini. Peranan ar rahnu ialah memberi pinjaman bercagar kepada yang memerlukan, bukan kepada mereka yang tamak.Siapakah yang tamak?
Ramai yang menyalahgunakan perkhidmatan ar rahnu kebelakangan ini. Peranan ar rahnu ialah memberi pinjaman bercagar kepada yang memerlukan, bukan kepada mereka yang tamak.Siapakah yang tamak?
Orang yang jual dan beli menggunakan sistem 35:65 atau 30:70.Contoh seperti ini:
Katakan emas 999 100g berharga RM10k, pembeli hanya sediakan RM3k sahaja kerana bakinya akan dibayar menggunakan hasil pajakan di ar rahnu di mana pemajak akan mendapat RM7k dan menyerahkannya kepada peniaga. Urusan dengan peniaga sudah selesai,dan peniaga kenyang sebab dapat untung besar jual emas dengan cara ini.Apa cerita dengan pembeli? Terpaksa membayar pinjaman dan kos upah simpan.
Realitinya ramai yang tidak faham tentang sistem ini,dan buat kerana terpengaruh dengan janji manis si penjual. Akibatnya ramai yang tercekik sehingga terpaksa menjual emas di dalam ar rahnu dengan harga yang rendah. Lebih menyedihkan kerana si penjual sengaja memasang perangkap ini agar dapat membeli emas di bawah harga pasaran dengan cara ini apabila dihubungi si pembeli, kerana dapat menjualnya dengan harga yang lebih tinggi kepada pembeli lain.
Ramai yang tak sedar mereka golongan yang tamak. Antara syarikat paling top mempromosikan sistem ini ialah Serambi Emas. Paling menyedihkan, mereka menggunakan orang berpengaruh untuk meyakinkan orang ramai dengan promosi yang hebat-hebat belaka di media massa termasuk televisyen.
Sistem ini salah di sisi agama. Awas jika anda terlibat. Ar rahnu BUKAN perniagaan!
Golongan kedua ialah yang memajak untuk menambah emas atau juga dikenali sebagai REMPIT emas. Ini juga harus anda jauhi. Tambahlah emas anda mengikut kemampuan,bukan mengikut nafsu atau saranan peniaga emas yang membuta tuli. Ar rahnu bukan perniagaan dan jangan salah gunakannya
3. Jangan jual emas anda
Jangan jual emas anda tanpa sebab.Ramai yang keliru apabila diajar jual semasa harga tinggi(beli rendah jual tinggi). Jadi untuk apakah anda beli emas? Emas adalah aset unggul yang harus anda jadikan simpanan jangka masa panjang. Jika harga tinggi sahaja anda hendak jual, maka tiada apa di tangan anda nanti.
Jual emas hanya untuk 5 perkara di bawah :
1.Rumah 2.Hartanah 3.Emas dalam bentuk lain (cth barang kemas) 4. Modal bisnes 5.Keperluan atau terdesak.
Jika anda menjual emas anda dengan harga tinggi,belum tentu anda dapat membelinya kembali dengan harga anda beli dahulu. Kecuali, jika anda mahir membaca pergerakan harga emas, anda boleh menjual semasa harga tinggi, dan menyimpan wang tersebut sehinggalah harga emas agak turun sedikit, anda beli semula. Dengan cara ini anda mendapat gram yang lebih. Anda memerlukan sedikit kemahiran menganalisis harga emas, tetapi jika anda bukanlah seorang yang suka memantau harga emas dan sibuk, cara ini tidak bersesuaian dengan anda sebaliknya anda boleh menghafal trend pergerakan harga emas, sebagai contoh setiap kali musim perayaan, harga emas akan menjunam sedikit.
4. Jangan simpan wang kertas
Jangan menyimpan terlalu banyak wang kertas,sebaliknya simpanlah sedikit untuk keperluan kecemasan dan kegunaan seharian. Emas adalah penyimpan yang terbaik kerana ia kalis inflasi dan tidak susut nilai. Setiap kali harga emas naik, ia menunjukkan betapa lemah dan semakin susut nilai wang kertas kita. Jangan terpedaya dengan bonus, dividen dan pulangan yang ditawarkan sebaliknya kajilah berapa inflasi setiap tahun yang menyebabkan anda rugi sebenarnya.
Simpanlah emas dalam bentuk fizikal seperti dinar, bar dan pelbagaikan pula dengan barang kemas.
5. Jangan tunggu
Jangan terlalu menunggu harga rendah baru nak beli. Orang selalu cakap emas mahal, tak mampu nak beli. Ya, memang betul emas mahal, hampir setiap tahun orang kata emas mahal..jadi masa bila emas murah?
Dulu harga emas RM16/gram pun orang kata mahal, RM38/gram pun orang kata mahal, RM90/gram pun orang kata mahal, sekarang dah nak cecah RM200+ pun orang kata mahal. Jawapannya, tahun demi tahun harga emas makin mahal. Rugilah golongan yang hanya menunggu dan melihat orang lain semakin kaya dengan emas. Apa tidaknya, dulu beli emas masa RM140/gram,sekarang dah RM200/gram..ini baru simpan sahaja dah untung, kalau yang meniaga macam mana, lagi untung!
6. Jangan tolak
Jangan menolak atau menafikan tentang matawang Islam iaitu Dinar dan Dirham.Kebelakangan ini semakin ramai yang menyokong usaha-usaha sesetengah pihak yang cuba mengembalikan matawang Islam ini. Memang kita tidak mampu kembalikan ia 100% kerana wang kertas masih giat digunakan, tetapi kita boleh mulakannya dengan komuniti kecil kita. Saya dah bermula, anda bila lagi?
Perniagaan gerai kami juga menerima dinar dan dirham, dan anda boleh rujuk senarai outlet/bisnes yang terima dinar dan dirham sebagai matawang. Saya mencadangkan agar anda menyertai group perbincangan di facebook iaitu Dinihari Dinar, Dinar dan Dirham dan juga group untuk jual beli menggunkan dinar dan dirham iaitu Pasar Muamalat DnD. Macam-macam boleh dibeli menggunakan dinar dan dirham di sini. Ayuh kita sokong matawang yang bebas riba dan kembalikan ekonomi orang Islam ke tahap yang sepatutnya.
7. Jangan pentingkan diri sendiri
Setelah anda menjadi seorang yang celik emas, janganlah anda hanya mendiamkan diri dan tidak menyampaikan info yang berguna ini kepada orang lain. Sebarkanlah tentang emas, perak, dinar dan dirham. Semua ini berbeza dan mempunyai matlamat simpanan yang berbeza, contohnya dinar dan dirham ditukarkan dengan fiat bagi tujuan untuk muamalat(jual-beli), boleh juga disimpan untuk tujuan muamalat pada masa akan datang.
Setelah anda menjadi seorang yang celik emas, janganlah anda hanya mendiamkan diri dan tidak menyampaikan info yang berguna ini kepada orang lain. Sebarkanlah tentang emas, perak, dinar dan dirham. Semua ini berbeza dan mempunyai matlamat simpanan yang berbeza, contohnya dinar dan dirham ditukarkan dengan fiat bagi tujuan untuk muamalat(jual-beli), boleh juga disimpan untuk tujuan muamalat pada masa akan datang.
Tak guna jika hanya kita seorang sahaja yang tahu tentang kepentingan emas dan sebab perlu menyimpannya tetapi saudara mara kita, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling masih buta emas. Memang ada yang tidak boleh terima terus, gunakanlah cara yang berhemah dan yang penting anda sudah menyampaikannya. Mungkin anda boleh meminta mereka menambah info di internet ..susah-susah suruh saja baca blog ini. Macam-macam info emas ada.
Sekian dahulu..jumpa lagi...
0 comments:
Post a Comment